Pages

Tuesday 21 August 2012


Sayur cantik sebab bahan kimia.


















Bukan mudah menjadi usahawan pertanian yang ingin
memfokus kepada 
tanaman organik. Petani di Cameron Highlands antara 
yang berdepan dengan
masalah tersebut dan mereka perlu menuju ke arah itu 
memandangkan kawasan
berkenaan terdedah dengan ancaman baja kimia.
Seorang pengusaha ladang sayuran Yu Hao Enterprise, 
Khong Chee Choon
 memberitahu, pelbagai standard dan syarat ketat 
perlu dipatuhi sebelum sesebuah
ladang itu mendapat pengiktirafan.
Selain itu, katanya, mengusahakan ladang 
menggunakan sistem organik juga amat
mencabar berbanding sistem biasa yang lebih banyak 
menggunakan bahan kimia.
"Untuk melaksanakan perladangan secara organik, ia perlu 
bermula daripada penyediaan
tanah sehinggalah kepada kaedah kawalan serangga.
"Semuanya perlu organik dan tidak menggunakan sebarang 
bahan kimia terlarang seperti
racun serangga dan rumpai," katanya.
Beliau ditemui pada program lawatan ke tapak projek bersama Jabatan Pertanian di 
Cameron Highlands, Pahang, baru-baru ini.
Chee Choon yang mewarisi perusahaan ladang tersebut daripada bapanya turut
berkongsi pada peringkat awal perlaksanaan sistem tersebut amat mencabar.
Ini kerana pada tahun pertama penanaman, dia telah menanggung kerugian berikutan
sayur-sayuran tidak dapat dijual seperti biasa kerana tidak diminati oleh pembeli.
"Kebiasaannya orang suka pada sayur-sayuran yang kelihatan cantik, tiada kesan 
dimakan serangga atau ulat.
"Namun bagi sayur yang dikeluarkan daripada ladang organik kebanyakannya
terdapat kesan dimakan serangga kerana tidak menggunakan racun serangga,"
katanya.
Tambahan, ketika awal sistem tersebut dipraktikkan, masyarakat masih tidak 
memahami dan masih menolak untuk membeli sayuran-sayuran organik yang
tidak cantik malahan berharga mahal.
Sistem perladangan organik bermula daripada proses penyediaan tanah, 
penggunaan baja kompos dan kawalan serangga secara organik.
Bukan suatu perkara yang mudah kerana kebiasaannya peladang lebih suka
menggunakan bahan kimia seperti baja kimia, racun kimia untuk memastikan
hasil pengeluaran sayur-sayuran mereka berada di tahap yang maksimum.
Bagi Chee Choon, semasa awal pembabitannya dalam sektor perladangan 
sayur-sayuran bersama bapanya mereka banyak menggunakan baja dan
racun daripada bahan kimia.
Justeru, untuk menukar kaedah yang telah biasa digunakan kepada cara
baru agak sukar dan mengambil masa.
Malah, setelah berjaya menghasilkan sayur-sayuran organik, cabaran 
seterusnya adalah untuk memasarkannya.
Ini kerana, harga bagi sayur-sayuran organik agak tinggi berbanding 
dengan sayur-sayuran yang lain berikutan kos pada peringkat awalnya
agak tinggi.
Kini setelah beberapa tahun mengamalkan sistem peladangan organik, 
sayur-sayuran yang ditanam nya berjaya mendapat tempat di kalangan 
pengguna.
Malah turut mendapat permintaan yang tinggi daripada pengguna di negara
jiran seperti Singapura.
Chee Choon yang mengusahakan pelbagai jenis sayur-sayuran seperti kubis, 
lobak putih dan lobak cina kini mampu tersenyum lebar kerana produknya 
kini boleh didapati di pasar raya besar.
Bercerita mengenai penerimaan sijil Skim Organik Malaysia (SOM), Khong 
mengakui bahawa bukan sesuatu yang mudah untuk mendapatkannya.
Chee Choon memerlukan masa selama tiga tahun untuk mendapatkan sijil 
dan selama itu juga beliau mendapat tunjuk ajar secara terus daripada 
Jabatan Pertanian.
Setelah berjaya dalam perladangan organik, hasrat Chee Choon kini
adalah untuk meneruskan usahanya itu bukan sahaja kerana mencari 
keuntungan semata-mata kerana harga sayur-sayuran organik yang 
lebih stabil.
Namun, katanya ia lebih kepada cara beliau menyumbang kepada 
masyarakat negara ini ke arah gaya hidup yang lebih sihat.

No comments:

Post a Comment